Nama Che Guevara cukup sinonim dengan pergerakan pemberontakan sosialis dunia. Gelaran Che yang diberikan kepada Ernesto Guevara de La Serna membawa maksud seorang yang gemar bersahabat. Sesetengah masyarakat Eropah menggunakan perkataan Che untuk merujuk kepada perkataan hei kawan atau sahabat. Gelaran itu menunjukkan Ernesto guevara merupakan seorang yang cukup mementingkan erti persahabatan. Sebenarnya, Che Guevara memang terkenal sebagai pembela bangsa yang tertindas. Sifat hero itu telah meletakkan namanya sebagai pejuang paling ulung di benua Amerika.
Ernesto Guevara dilahirkan pada 14 Jun 1928 di Rosario, Argentina. Berketurunan golongan atasan Argentina, Guevara berdarah campuran dari bangsa Sepanyol, Basque dan Ireland. Che Guevara merupakan anak sulung daripada lima orang adik beradik hasil perkahwinan Guevara Lynch bersama Celia de la Serna y Llosa pada tahun 1927.
Sejak kecil, Che Guevara menghidap penyakit lelah. Keadaan itu banyak menjejaskan kehidupannya. Namun jiwa kental yang dimilikinya tidak pernah membuatkan dia mengalah dengan penyakit itu. dia terus aktif bersukan meskipun tahu dirinya sesak nafas. Kegigihan itu telah membawanya menjadi olahragawan yang berjaya. Keagresifannya bermain ragbi menyebabkan dia digelar Fuser oleh rakan sepasukan.
Status kedudukan keluarga yang tinggi membimbing Che Guevara untuk memiliki personaliti dinamik serta perspektif yang radikal. Pada usia remaja, Che Guevara lebih cenderung menghasilkan sepertimana yang dilakukan oleh golongan bangsawan Amerika Latin ketika itu. Dia amat meminati karya yang dihasilkan oleh Pablo Neruda. Di akhir usia remaja, minat Guevara beralih pula kepada seni fotografi. Dia banyak menghabiskan masa mengembara ke tempat-tempat bersejarah, kawasan tumpuan orang ramai, bandar-bandar termasyhur dan tapak kajian arkeologi. Melalui pengembaraan inilah, dia banyak bertemu dengan pelbagai golongan masyarakat dan merasai kehidupan pelbagai peringkat strata sosial.
Pada tahun 1948, Che Guevara belajar di Universiti Buenos Aires dengan membuat pengkhususan dalam bidang perubatan. Dia berjaya menamatkan pengajian pada bulan Mac 1953, walaupun mengalami beberapa gangguan. Oleh kerana dia tidak menjalani latihan klinikal, Che Guevara tidak boleh mengembangkan kerjayanya sebagai ahli perubatan.
Sepanjang bergelar pelajar di universiti, Che Guevara banyak menghabiskan masa mengembara dan mengelilingi Amerika Latin. Pada tahun 1951 dia bersama rakannya Alberto Granado seorang seorang ahli biokimia mengembara ke pedalaman Amerika Selatan. Ketika memulakan pengembaraan, mereka berdua berusia 29 tahun. Dengan satu tekad mahu mencari pengalaman hidup, kedua-dua sahabat ini bermotosikal meninggalkan bandar Alta Gracia ke San Pablo. Di sana, mereka berdua melakukan kerja sukarela di perkampungan pesakit kusta. Mereka berdua telah mengembara hingga ke pinggir sungai Amazon. Hasil daripada pengalaman itu, Che Guevara telah menghasilkan sebuah buku diberi judul The Motorcycle Diaries. Karya dalam bahasa Sepanyol ini kemudiannya diterjemahkan ke bahasa Inggeris pada tahun 1996 dan merupakan buku terlaris penerbit New York Times. Kisah dalam karya ini juga telah dijadikan filem pada tahun 2004.
Era revolusi dalam hidup Che Guevara bermula pada tahun 1953. Ketika itu, dia memulakan pengembaraannya buat kali kedua selepas misi diari motosikal selesai. Kali ini haluannya adalah Bolivia, Peru, Ecuador, Panama, Costa Rica, Nicaragua, Honduras, El Savador dan Guatemala. Sewaktu tiba di Guatemala, Che Guevara bertemu dengan satu kebangkitan sosial.
Pemerintah Guatemala ketika itu, Presiden jacob Arbenz Guzman sedang cuba mengembalikan revolusi sosial dengan membuat pembaharuan terhadap pemilikan tanah yang sebelum ini hanya dimonopoli oleh golongan Patron.
Kemiskinan, penindasan dan ketiadaan hak mengundi dalam kalangan penduduk seluruh Amerika Latin yang disaksikan oleh Che Guevara membuatkannya bertekad untuk membantu perjuangan revolusi sosial yang ditaja oleh presiden Jacobo Arbenz Guzman. Pada pemikirannya, hanya ada satu jalan sahaja untuk memulihkan kuasa rakyat di Amerika Latin iaitu dengan menumbangkan golongan pemilik tanah yang berkuasa menghalang revolusi sosial. Memandangkan Che Guevara terdidik dengan tata-moralis memperjuangkan hak yang tertindas, dia merasakan sudah tiba masanya dia bertindak untuk menentang ketidak adilan ini.
Perkenalannya dengan Hilda Gadea Acosta telah membawa satu era perjuangan radikal di bumi Guatemala. Penubuhan Alianza Popular Revolucianaria Americana (ARPA) telah melakar sejarah penentangan bersenjata. Konsep peperangan gerila yang diperkenalkan oleh ARPA telah menyebabkan pergolakan politik berlaku di wilayah-wilayah yang dikuasai kapitalis yang mahu berkuasa menentukan hasil negara seperti Guatemala.
Kemudian, pada tahun 1959, Che Guevara telah membantu Fidel Castro merampas kuasa di Cuba dan mengembangkan kuasa sosialis soviet di bumi Amerika. Selesai membebaskan Cuba, pada tahun 1965 Che Guevara meninggalkan negara itu dan memulakan revolusi di Congo-Kinshasha. Kehilangan misteri Che Guevara dari revolusi Congo pada bulan April 1967 terjawab apabila dia diketahui memimpin gerakan di Bolivia. Perjuangan Che Guevara untuk membebaskan Bolivia menghadapi masalah apabila dia diburu militan Bolivia yang dilatih oleh Amerika Syarikat.
Akhirnya Che Guevara ditangkap dalam satu operasi ketenteraan terancang Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA). Dia dihukum mati oleh tentera Bolivia di La Higuera sewaktu ditawan dalam pertempuran di Quebrada del Yuro pada 8 Oktober 1967. Persoalan siapa yang mengarahkan dia dibunuh dan siapa yang membunuhnya telah menjadi misteri hingga ke hari ini. Begitu juga dengan soalan kenapa dia harus mati telah banyak diperdebatkan para pemikir politik.
Salah satu jawapan konkrit yang diterima pakai dunia adalah kerana dia menentang kapitalis. Kini, Che Guevara terus dikenang sebagai wira pembela masyarakat miskin di seluruh Amerika Selatan dan Latin.
-Dipetik dari Infiniti, Jun 2010