Showing posts with label Sejarah. Show all posts
Showing posts with label Sejarah. Show all posts

Wednesday, February 13, 2013

Tun Dr. Ismail: Tokoh yang Semakin Dilupakan



Tun Dr. Ismail Bin Dato' Abdul Rahman Wira Negara

Contoh Pemimpin Tegas & Jujur Ke arah Perpaduan & Keharmonian

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Tun Dr. Ismail bin Dato’ Abdul Rahman ialah Timbalan Perdana Menteri Malaysia Kedua. Beliau telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia Kedua oleh YAB Tun Abdul Razak pada 22 September 1970. Semasa MAGERAN melaksanakan dasar pentadbiran dan pemerintahan negara ketika darurat pada Mei 1969-Februari 1971, Tun Dr. Ismail menjawat Timbalan Pengarah MAGERAN. Beliau juga merupakan seorang tokoh profesional dan politik Melayu yang turut serta dalam perjuangan menuntut kemerdekaan Tanah Melayu daripada British.

Tun Dr. Ismail ialah anak watan negeri Johor. Beliau dilahirkan pada 4 November 1915 di Johor Bahru dari sebuah keluarga elit, berpendidikan tinggi dan mempunyai banyak harta. Bapanya, Dato’ Abdul Rahman bin Mohd Yassin telah bermastautin di Johor Bahru kerana menjawat jawatan tinggi Kerajaan Negeri Johor. Antara jawatan yang pernah disandang oleh bapanya ialah sebagai kerani, pesuruhjaya daerah, majistret dan bendahari negeri. Di peringkat kebangsaan, bapanya ialah Speaker Dewan Negara yang pertama. Dato’ Abdul Rahman terkenal sebagai seorang tokoh Melayu Johor yang telah menubuhkan Persatuan Melayu Johor menentang Malayan Union. Beliau juga ialah ketua Orang Tujuh yang menuntut Sultan Ibrahim meletak jawatan sebagai Sultan Johor kerana menandatangani persetujuan penubuhan Malayan Union 1946 yang bertentangan dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

Dato’ Abdul Rahman dan bapanya Mohd Yassin berasal dari Parit Bakar Muar Johor. Parit Bakar terletak dalam kawasan yang dulunya terkenal sebagai Padang sebelum Bandar Maharani dibuka pada 1884. Padang diperintah oleh ketua tradisional Melayu bergelar Orangkaya yang terdiri dari kaum karabat Mohd Yassin. Mohd Yassin ialah anak kepada Orangkaya Abdul Rahman, Orangkaya Setia Minyak Beku III. Keluarga beliau berasal dari keturunan Raja Melayu Bugis Campa yang terkenal di Padang Muar sejak dari Kesultanan Melayu Melaka. Mereka merupakan keluarga pentadbir yang menyara hidup daripada sumber perkebunan dan perdagangan dan sangat menitikberatkan pelajaran.

Datuk nenek moyang Tun Dr Ismail di Padang dan di Batu Pahat adalah pembesar daerah atas titah atau pelantikan Sultan. Moyang Tun Dr. Ismail di Batu Pahat iaitu Abdul Rahman bin Ismail bergelar Orangkaya Setia Minyak Beku III, Batu Pahat pada 1862-1881. Bapa kepada Abdul Rahman iaitu Orangkaya Ismail bin Orangkaya Ahmad pula ialah Orangkaya Setia Minyak Beku II pada 1855-1862 dan bapa Orangkaya Ismail iaitu Ahmad bin Daing Abdul Rahman menjadi Orangkaya Setia Minyak Beku I pada 1811-1855. Daing Ahmad adalah daripada keturunan Daing Indera Perma Paso berasal dari Sulewasi. Banyak saudara beliau menjadi Orangkaya Muar atau Padang. Daing Abdul Rahman telah dihantar dan disaran oleh saudaranya, Orangkaya Muar mengetuai masyarakat Melayu Bugis dan orang-orang Selat atau Seletar di Minyak Beku setelah berjaya melumpuhkan kegiatan lanun di perairan Batu Pahat. Pada mulanya mereka menjunjung kedaulatan Sultan Melaka kemudian Sultan Johor Pahang dan terakhir kepada Temenggong Johor yang kemudiannya menjadi sultan pada tahun 1885.

Keturunan Tun Dr. Ismail mempunyai hubungan rapat dan bercantum dengan nenek moyang Tan Sri Noah, Tun Dr. Awang Hassan dan Orangkaya-Orangkaya Muar. Mengikut sejarah, pusat pemerintahan datuk nenek moyang mereka yang telah dikurniakan oleh Sultan Melaka kepada anak raja Melayu keturunan Bugis Campa ialah di Bukit Makmur atau Bukit Mor, Muar. Sejak itu, keluarga ini turun-temurun memerintah kawasan bernama Padang dan sekitarnya.

Tun Dr. Ismail mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Bukit Zaharah, Johor Bahru. Seterusnya beliau menuntut di English College, (Maktab Sultan Abu Bakar). Kemudian, beliau dihantar oleh bapanya melanjutkan pelajaran di bidang perubatan di Kolej King Edward VII, Singapura pada tahun 1935-1937, tetapi beliau tidak berjaya menamatkan pengajian kerana kurang meminati bidang perubatan yang ditentukan oleh bapanya.

Bapanya, Dato’ Abdul Rahman merupakan seorang yang sangat menitikberatkan pelajaran keluarga hingga ke peringkat tertinggi. Beliau menghendaki anak-anaknya berkelulusan daripada pelbagai bidang profesional selain peguam. Ketika itu, kerjaya peguam merupakan trend dan kebanggaan keluarga elit. Dato’ Abdul Rahman memilih anaknya Tun Dr. Ismail mempelajari ilmu perubatan kerana bersesuaian dengan sikap beliau yang agak pendiam , tegas, cekap dan cepat membuat keputusan dan tindakan. Dr. Ismail pula meminati bidang perundangan dan bercita-cita untuk menjadi peguam seperti bapa dan abangnya, Sulaiman.

Adik-beradik Tun Dr. Ismail selain Dato’ Sulaiman ialah Khadijah, Abdullah, Aishah, Md Yassin, Rafiah, Zubaidah dan Fatimah. Semua adik-beradik beliau berpelajaran tinggi dan menyumbangkan perkhidmatan kepada masyarakat awam. Abangnya, Sulaiman ialah salah seorang anggota Kumpulan Tujuh dan pemimpin UMNO berijazah undang-undang dari Universiti Cambridge dan pernah menjadi Menteri Kabinet dan Persuruhjaya Malaysia ke Australia. Begitu juga dengan yang lain seperti Senator Abdullah, Dr. Zubaidah, YB. Md Yassin dan Fatimah.

Walaupun gagal untuk menamatkan pengajian dalam bidang perubatan di Singapura, Tun Dr. Ismail tetap berkobar-kobar untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perundangan di England, tetapi tidak mendapat biasiswa kerana beliau daripada keluarga berada. Bapanya pula tidak bersetuju beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang ini. Bapanya hanya bersetuju membiayai pelajaran Tun Dr. Ismail sekiranya beliau sanggup melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Australia. Beliau akur dengan kehendak bapanya. Beliau berjaya malah menjadi pelajar yang sangat tekun dan gigih. Tun Dr. Ismail merupakan pelajar Melayu pertama yang lulus dalam bidang perubatan di Australia.

Penglibatan Tun Dr. Ismail dalam persatuan pelajar ketika di Singapura dan di Australia telah menampilkan ketokohan dan pemikiran beliau terutamanya terhadap kemajuan pendidikan dan perpaduan Melayu. Setelah tamat pengajiannya di Universiti Melbourne, Australia pada tahun 1945, beliau telah berkhidmat di Hospital Tentera Australia. Setelah perang tamat, beliau kembali ke tanah air pada 1947 dan berkhidmat dengan kerajaan Johor sebagai pembantu pegawai perubatan di Hospital Johor Bahru sehingga 1948. Beliau telah melepaskan jawatannya dan membuka klinik sendiri bernama Klinik Tawakal di Johor Bahru kerana aktif dalam persatuan dan tidak suka terikat dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan Johor. Pada ketika itu beliau juga dipengaruhi oleh keadaan bapa dan keluarganya serta ahli Kumpulan Orang Tujuh yang telah dipecat oleh sultan.

Tun Dr. Ismail telah mendirikan rumah tangga dengan Toh Puan Norashikin binti Dato’ Mohd. Seth, anak salah seorang pembesar Johor pada tahun 1950. Mereka telah dikurniakan enam orang anak, empat orang lelaki dan dua orang perempuan iaitu Mohd. Taufik (1951), Zailah (1953), Badariah (1957), Mohd. Tarmizi (1960), Zamkhasani (1964) dan Mohd. Arif (1967). Dato’ Mohd. Seth, bapa Toh Puan Norashikin merupakan salah seorang daripada ahli rombongan yang menuntut kemerdekaan 1956 di London sebagai mewakili Sultan Johor.

Tun Dr. Ismail mewarisi sifat keyakinan diri yang tinggi dan suka berdikari. Beliau menjalankan perniagaan dengan membuka kelinik perubatan sendiri yang dinamakan Klinik Tawakal. Beliau suka membantu orang miskin dan yang kurang bernasib baik terutamanya dalam bidang pendidikan dan kesihatan. Penglibatan aktif beliau dalam persatuan bukan politik seperti Persatuan Bekas Mahasiswa Luar Negeri Johor atau Persatuan Siswazah Melayu Johor yang ditubuhkannya, mendorong beliau dilantik menganggotai Dewan Undangan Negeri Johor pada tahun 1948 dan seterusnya sebagai EXCO Kerajaan Negeri Johor. Beliau hanya menceburkan diri dalam parti politik atas permintaan bapanya. Beliau bersama-sama dengan bapa dan keluarga besarnya serta ahli-ahli Persatuan Melayu Johor yang diketuai oleh bapanya sendiri menganggotai UMNO pada 1951 setelah Dato’ Onn meninggalkan parti itu.

Pada tahun 1952, Tun Dr. Ismail dilantik menjadi Ahli Dewan Undangan Persekutuan yang bertanggungjawab terhadap tanah, lombong dan perhubungan. Pelantikannya selaku ahli kabinet kepada Tun General Templer adalah atas permintan YM Tunku Abdul Rahman. Pada Julai 1955 beliau telah bertanding dalam Pilihanraya Persekutuan Pertama dan menang di Kawasan Johor Timur. Berikutan dengan kemenangan itu, beliau dilantik menjadi Menteri Hasil Bumi dalam Pemerintahan Kerajaan Bersendiri dan pada 1956 menjadi Menteri Perdagangan dan Perusahaan Malaya yang pertama.
Tun Dr. Ismail ialah seorang tokoh pemimpin Melayu yang berprinsip dan setia. Beliau merupakan salah seorang pemimpin kepercayaan YM Tunku Abdul Rahman. Beliau dan Tun Abdul. Razak sentiasa bersama-sama dalam perbincangan untuk menuntut kemerdekaan negara sehingga berjaya diperoleh pada 31 Ogos 1957.

Pada September 1957, Tun Dr. Ismail dilantik menjadi Duta Persekutuan Tanah Melayu bertaraf menteri ke Amerika Syarikat di samping menjadi Ketua Tetap dan Wakil Persekutuan Tanah Melayu ke Bangsa-Bangsa Bersatu hingga Februari 1959. Kemudian, beliau menjadi Menteri Hal Ehwal Luar Negeri pada bulan Ogos 1959 dan menjadi Menteri Kementerian Keselamatan Dalam Negeri pada November 1960.
Beliau telah menyumbangkan banyak jasa dan memainkan peranan penting ketika pembentukan Malaysia dan menjadi Menteri Keselamatan Hal Ehwal Dalam Negeri dan Menteri Keadilan setelah Malaysia dibentuk pada 16 September 1963. Beliau juga bertangggongjawab menubuhkan ASEAN dan mewujudkan persefahaman Zon Bebas ASEAN dari segala pengaruh dan campurtangan kuasa tentera asing dan ideology. Beliau terus gigih berkerja meskipun kesihatannya kerap terganggu kerana mengidap barah dan sakit jantung. Kesihatannya bertambah parah apabila berlaku perpisahan Singapura dari Malaysia pada Ogos 1965. Beliau telah bersara awal pada 1 Jun 1967 kerana masalah kesihatan yang bertambah buruk dan memaksa beliau mengikuti rawatan dan berehat.

Apabila berlaku peristiwa 13 Mei 1969, beliau berasa amat bersemangat untuk menyumbangkan bakti semula tanpa menghiraukan masalah kesihatannya. YAB Tun Abdul Razak pula sangat mengharapkan kesediaan beliau menyambung tugas kerana beliau ialah seorang tokoh pemimpin Melayu yang sangat ikhlas, jujur, taat, serius dan tegas serta cekap dan mempunyai pandangan jauh yang sangat penting untuk perpaduan dan keharmonian sebuah negara bangsa. YAB Tun Abdul Razak telah memujuk beliau menganggotai Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) berikutan dengan perisytiharan Darurat 1969. Di samping itu, beliau juga dilantik menjadi Penolong Pengarah dalam Majlis Perundingan Negara. Majlis ini berperanan untuk memberikan nasihat kepada MAGERAN tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan perhubungan kaum. Bertitik tolak daripada hakikat tersebut, maka dicipta RUKUNEGARA. Satu lagi yang diputuskan oleh Majlis Perundingan Negara ialah Dasar Ekonomi Baru.

Sebagai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Tun Dr. Ismail merupakan seorang yang tegas dalam membanteras gejala rasuah dalam kalangan kakitangan kerajaan. Pada 23 Februari 1970, beliau telah mengumumkan satu rang undang-undang tambahan bagi Badan Pencegah Rasuah (BPR) iaitu Ordinan No. 23 Kuasa Perlu Darurat 1970 dikuatkuasakan. Selaku Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr. Ismail telah memberikan sokongan yang kuat terhadap Rang Undang-undang (Pindaan Perkara Sensitif) Perlembagaan di parlimen yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdul Razak pada 23 Februari 1971.
Dalam susunan kabinet baharu yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tun Abdul Razak pada 1 Januari 1973, Tun Dr. Ismail terus diamanahkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri di samping Menteri Perdagangan dan Perusahaan. Dalam menghadapi sesuatu isu yang berkaitan dengan kepentingan negara, beliau sangat tegas menyebabkan beliau sangat dihormati oleh kawan dan pihak lawan.

Ketika menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr. Ismail telah beberapa kali menanggung kerja dan memangku tanggungjawab dan tugas Perdana Menteri ketika YAB Tun Abdul Razak ke luar negeri sama ada bercuti atau melakukan lawatan rasmi. Beliau telah berkhidmat dengan cemerlang sehingga ke akhir hayatnya.

Pada hari Khamis, 2 Ogos 1973, adalah merupakan hari terakhir beliau sebagai seorang negarawan. Beliau sempat merasmikan perayaan Jubli Perak Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) pada pukul 4.22 petang. Pada pukul 10.00 malam, Tun Dr. Ismail telah menghembuskan nafas yang terakhir di rumahnya No. 22, Jalan Maxwell, Kuala Lumpur. Pada hari Jumaat, 3 Ogos 1973, jenazah beliau telah disembahyangkan di Masjid Negara selepas upacara sembahyang Jumaat. Jenazah Tun Dr. Ismail telah dimakamkan di Makam Pahlawan Masjid Negara pada pukul 6.30 petang. Kini, sudah tiga puluh lapan tahun perginya seorang tokoh negarawan yang amat berjasa. Negara amat merasa kehilangannya, seorang tokoh pemimpin yang sangat berdisiplin, tegas, berprinsip, ikhlas dan jujur.



Petikan asal daripada: http://sejarah-tunsheikh.blogspot.com

Wednesday, April 13, 2011

Kisahkah kita akan asal-usul kita?


Assalamualaikum & hye all~

Kali ini aku ingin berkongsi berkenaan sejarah manusia di dunia ni. Semuanya bermula masa aku hadiri Dialog Peradaban Melayu 1: Melayu Itu Siapa? yang membicarakan soal asal usul bangsa Melayu di muka bumi ini. Oh ya, entri ini bukan bernada bangga diri, riak ataupun taksubnya aku terhadap bangsa Melayu, tetapi ada sesuatu yang perlu kita ketahui berkenaan sejarah asal-usul manusia. Bagaimana manusia itu bertebaran di muka bumi ini, dan siapakah kumpulan manusia paling awal di satu-satu lokasi di muka bumi ini.

Jika diimbas kembali pada entri aku sebelum ini (sini), ya aku memang susah untuk menghadam apa yang tokoh-tokoh di atas pentas perkatakan (kecuali Prof. Adnan Nawang yang sedikit berbeza penyampaiannya). Namun, beberapa hari selepas program tersebut, aku berpeluang bersembang panjang hampir tiga jam lamanya dengan seorang 'sifu' di UPSI ini berkenaan program tersebut.

Ternyata beliau sangat teruja berkongsi sudut pandangannya dan Alhamdulillah, situasi yang santai memudahkan aku memahami penyampaian tersebut dan ianya sungguh menyeronokkan!

Dipendekkan cerita, aku ingin kongsikan satu dokumentari yang sungguh menarik. Beliaulah yang menyarankan aku untuk tonton dokumentari ni. Ada 13 episod kalau mahu tonton melalui YouTube. Ini permulaannya:

Kajian sejarah awal melalui DNA oleh Spencer Wells, ahli genetik dari Amerika Syarikat. Dengan kemajuan teknologi masa kini, DNA dah jadi umpama mesin masa yang mampu menyingkap sejarah silam manusia.

Berikut adalah laluan perjalanan manusia puluhan ribu tahun dahulu:
(Klik untuk besarkan)


Menarik bukan? Dan ini sudah jelas menunjukkan bahawa orang Melayu itu sendiri bukanlah berasal dari mana-mana (Yunan, Taiwan atau India) tetapi penduduk asal kepulauan Nusantara ini. Lihat perjalanan kumpulan manusia terawal yang berada di selatan Afrika, kemudian menyusuri pesisir timur tengah, India dan kemudian ke Asia Tenggara sebelum ke selatan Australia. Tambah menarik lagi, golongan manusia terawal ini bukanlah manusia berkulit hitam pekat, tetapi berkulit coklat. (puak Bushmen yang dipercayai paling dekat dengan kumpulan manusia terawal kalau diperhatikan, tak ubah macam Orang Asli di negara kita kan?)


Kajian terhadap DNA (melalui kromosom Y) juga membuktikan manusia ini berasal dari seorang lelaki dan seorang wanita. Jelas sekali menyangkal Teori Darwin yang mengatakan manusia berasal dari beruk.

Penemuan ini sungguh membantu dalam menyedarkan manusia bahawa asasnya, semua kita berasal dari pasangan yang sama, dan sejarah silam telah menjadikan kita seperti apa yang kita ada sekarang.

Ternyata, tak terbayang luasnya ilmu Allah. Dapat cedok sebahagian kecil pun tak terkata nikmatnya. Itu pun tak sangka ada lagi yang memperlekehkah kekuasaan-Nya. Mungkin itu resam manusia. Bila rasa diri terlalu bijak, pengetahuan lebih banyak daripada orang lain dan punyai pemikiran yang terlalu ke hadapan, maka segalanya pun mahu dipertikaikan. Seorang bijak pandai pernah berkata, "We are fighting a losing battle." Menakutkan bunyinya, tapi itulah realiti kehidupan hari ini.

Kenal asal-usul, baru sembang pasal perjuangan. Berjuang dengan ilmu, bukan dengan emosi. Kebodohan yang ditunjukkan bakal memakan diri sendiri. ;)

Thursday, March 24, 2011

Che Guevara: Hero Amerika Selatan






Nama Che Guevara cukup sinonim dengan pergerakan pemberontakan sosialis dunia. Gelaran Che yang diberikan kepada Ernesto Guevara de La Serna membawa maksud seorang yang gemar bersahabat. Sesetengah masyarakat Eropah menggunakan perkataan Che untuk merujuk kepada perkataan hei kawan atau sahabat. Gelaran itu menunjukkan Ernesto guevara merupakan seorang yang cukup mementingkan erti persahabatan. Sebenarnya, Che Guevara memang terkenal sebagai pembela bangsa yang tertindas. Sifat hero itu telah meletakkan namanya sebagai pejuang paling ulung di benua Amerika.
Ernesto Guevara dilahirkan pada 14 Jun 1928 di Rosario, Argentina. Berketurunan golongan atasan Argentina, Guevara berdarah campuran dari bangsa Sepanyol, Basque dan Ireland. Che Guevara merupakan anak sulung daripada lima orang adik beradik hasil perkahwinan Guevara Lynch bersama Celia de la Serna y Llosa pada tahun 1927.
Sejak kecil, Che Guevara menghidap penyakit lelah. Keadaan itu banyak menjejaskan kehidupannya. Namun jiwa kental yang dimilikinya tidak pernah membuatkan dia mengalah dengan penyakit itu. dia terus aktif bersukan meskipun tahu dirinya sesak nafas. Kegigihan itu telah membawanya menjadi olahragawan yang berjaya. Keagresifannya bermain ragbi menyebabkan dia digelar Fuser oleh rakan sepasukan.
Status kedudukan keluarga yang tinggi membimbing Che Guevara untuk memiliki personaliti dinamik serta perspektif yang radikal. Pada usia remaja, Che Guevara lebih cenderung menghasilkan sepertimana yang dilakukan oleh golongan bangsawan Amerika Latin ketika itu. Dia amat meminati karya yang dihasilkan oleh Pablo Neruda. Di akhir usia remaja, minat Guevara beralih pula kepada seni fotografi. Dia banyak menghabiskan masa mengembara ke tempat-tempat bersejarah, kawasan tumpuan orang ramai, bandar-bandar termasyhur dan tapak kajian arkeologi. Melalui pengembaraan inilah, dia banyak bertemu dengan pelbagai golongan masyarakat dan merasai kehidupan pelbagai peringkat strata sosial.
Pada tahun 1948, Che Guevara belajar di Universiti Buenos Aires dengan membuat pengkhususan dalam bidang perubatan. Dia berjaya menamatkan pengajian pada bulan Mac 1953, walaupun mengalami beberapa gangguan. Oleh kerana dia tidak menjalani latihan klinikal, Che Guevara tidak boleh mengembangkan kerjayanya sebagai ahli perubatan.
Sepanjang bergelar pelajar di universiti, Che Guevara banyak menghabiskan masa mengembara dan mengelilingi Amerika Latin. Pada tahun 1951 dia bersama rakannya Alberto Granado seorang seorang ahli biokimia mengembara ke pedalaman Amerika Selatan. Ketika memulakan pengembaraan, mereka berdua berusia 29 tahun. Dengan satu tekad mahu mencari pengalaman hidup, kedua-dua sahabat ini bermotosikal meninggalkan bandar Alta Gracia ke San Pablo. Di sana, mereka berdua melakukan kerja sukarela di perkampungan pesakit kusta. Mereka berdua telah mengembara hingga ke pinggir sungai Amazon. Hasil daripada pengalaman itu, Che Guevara telah menghasilkan sebuah buku diberi judul The Motorcycle Diaries. Karya dalam bahasa Sepanyol ini kemudiannya diterjemahkan ke bahasa Inggeris pada tahun 1996 dan merupakan buku terlaris penerbit New York Times. Kisah dalam karya ini juga telah dijadikan filem pada tahun 2004.
Era revolusi dalam hidup Che Guevara bermula pada tahun 1953. Ketika itu, dia memulakan pengembaraannya buat kali kedua selepas misi diari motosikal selesai. Kali ini haluannya adalah Bolivia, Peru, Ecuador, Panama, Costa Rica, Nicaragua, Honduras, El Savador dan Guatemala. Sewaktu tiba di Guatemala, Che Guevara bertemu dengan satu kebangkitan sosial.
Pemerintah Guatemala ketika itu, Presiden jacob Arbenz Guzman sedang cuba mengembalikan revolusi sosial dengan membuat pembaharuan terhadap pemilikan tanah yang sebelum ini hanya dimonopoli oleh golongan Patron.
Kemiskinan, penindasan dan ketiadaan hak mengundi dalam kalangan penduduk seluruh Amerika Latin yang disaksikan oleh Che Guevara membuatkannya bertekad untuk membantu perjuangan revolusi sosial yang ditaja oleh presiden Jacobo Arbenz Guzman. Pada pemikirannya, hanya ada satu jalan sahaja untuk memulihkan kuasa rakyat di Amerika Latin iaitu dengan menumbangkan golongan pemilik tanah yang berkuasa menghalang revolusi sosial. Memandangkan Che Guevara terdidik dengan tata-moralis memperjuangkan hak yang tertindas, dia merasakan sudah tiba masanya dia bertindak untuk menentang ketidak adilan ini.
Perkenalannya dengan Hilda Gadea Acosta telah membawa satu era perjuangan radikal di bumi Guatemala. Penubuhan Alianza Popular Revolucianaria Americana (ARPA) telah melakar sejarah penentangan bersenjata. Konsep peperangan gerila yang diperkenalkan oleh ARPA telah menyebabkan pergolakan politik berlaku di wilayah-wilayah yang dikuasai kapitalis yang mahu berkuasa menentukan hasil negara seperti Guatemala.
Kemudian, pada tahun 1959, Che Guevara telah membantu Fidel Castro merampas kuasa di Cuba dan mengembangkan kuasa sosialis soviet di bumi Amerika. Selesai membebaskan Cuba, pada tahun 1965 Che Guevara meninggalkan negara itu dan memulakan revolusi di Congo-Kinshasha. Kehilangan misteri Che Guevara dari revolusi Congo pada bulan April 1967 terjawab apabila dia diketahui memimpin gerakan di Bolivia. Perjuangan Che Guevara untuk membebaskan Bolivia menghadapi masalah apabila dia diburu militan Bolivia yang dilatih oleh Amerika Syarikat.
Akhirnya Che Guevara ditangkap dalam satu operasi ketenteraan terancang Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA). Dia dihukum mati oleh tentera Bolivia di La Higuera sewaktu ditawan dalam pertempuran di Quebrada del Yuro pada 8 Oktober 1967. Persoalan siapa yang mengarahkan dia dibunuh dan siapa yang membunuhnya telah menjadi misteri hingga ke hari ini. Begitu juga dengan soalan kenapa dia harus mati telah banyak diperdebatkan para pemikir politik.
Salah satu jawapan konkrit yang diterima pakai dunia adalah kerana dia menentang kapitalis. Kini, Che Guevara terus dikenang sebagai wira pembela masyarakat miskin di seluruh Amerika Selatan dan Latin.
-Dipetik dari Infiniti, Jun 2010


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...