Wednesday, February 13, 2013

Bangga Diri, Hidung Tinggi dan Senioriti




Assalamualaikum & hi all~ :)

Peristiwa 1:

Lokasi: Asrama sekolah
“Berlagak punya junior. Tak tahu nak hormat senior ke? Baru sehari dua masuk asrama nak tunjuk bagus.”

Peristiwa 2:

Lokasi: Pejabat
“Wah, bukan main lagi staf baru ni. Melaram mengalahkan kita yang dah lama kerja. Tak boleh jadi ni!”

Peritiwa 3:

Lokasi: Pusat membeli belah
“Eeee jenama apa ni??? Tak pernah dengar pun! Design macam ni pun ada jual ke? Silap la orang macam aku nak beli.”

Peristiwa 4:

Lokasi: Rumah
“I kalau beli handbag, tak boleh la beli kat dalam negara. Nanti sama dengan orang lain. Jadi low class I nanti. Tak payah keluar negara pun, I order online aje…”

Peristiwa 5:
Lokasi: kafe
“Hand phone zaman apa kau pakai ni Man? Sekarang ni orang pakai touchscreen la. Kalau aku  segan nak keluarkan hand phone macam tu. Haha”

Pernah berada dalam situasi seperti di atas? Mungkin pernah. Mungkin tidak. Mungkin juga belum berkesempatan lagi. Sedarkah kita sifat sombong dan membangga diri itu merosakkan hubungan sesama manusia? Masing-masing cuba menunjukkan kehebatan tersendiri. Sampai bila?

Nabi Muhammad s.a.w sendiri mengingatkan dalam sebuah hadis:

“Seorang yang berbangga dengan keturunannya, sungguh ia menjadi arang api neraka, atau lebih rendah dari haiwan yang bermain-main di kotoran sampah” (HR Abu Daud dan Tirmidzi)

Seringkali manusia lupa pada hakikat penciptaannya. Lupa bahawa dia diciptakan Allah dari tanah. Bermula daripada air mani yang hina yang keluar dari tempat sama keluarnya kotoran. Yang keluar dari kelamin dua kali. Pertama dari bapanya dan kali kedua dari rahim ibunya. Lupa bahawa di sebalik hebat pakaian yang dikenakan pada tubuhnya, dia tetap membawa kotoran di dalam perutnya. Dan kotoran itu diangkat lebih tinggi daripada kepala saat sujud menghadap Allah s.w.t. Dia juga lupa walaupun setinggi dan setegap manapun dirinya, takkan mampu dia menembus  bumi mahupun menggapai langit. Bahkan, tertusuk duri pun pasti dia akan berdarah. Akhir sekali, takkan satupun yang akan terkecuali daripada panggilan maut.

Rasulullah s.a.w bersabda, “...Bahawa dalam diri setiap manusia terdapat segumpal daging, apabila ia baik maka baik pula seluruh amalnya, dan apabila ia rosak maka rosaklah seluru perbuatannya. Gumpalan daging itu adalah hati.” (HR Imam Al-Bukhari)

Saat seorang senior memandang dengan penuh jengkel orang baru yang memasuki tempat yang sudah beberapa tahun didudukinya, tidakkah terlintas di fikirannya bahawasanya dia juga bermula dengan keadaan yang sama satu ketika dahulu? Kurang ilmu. Kurang pengalaman. Perlukan bantuan. Setiap perjalanan di muka bumi ini bermula dengan langkah pertama. Kemudian disambung dengan yag kedua, ketiga dan seterusnya. Barang diingat, setiap langkah itu takkan mampu dilakukan tanpa izin Allah s.w.t. Sedarlah bahawa kita ini bukan siapa-siapa. Hatta setinggi apapun pangkat kita di dunia, setebal manapun pencapaian akademik kita, seberat manapun harta kekayaan kita, belum pasti keadaan yang sama menanti kita di akhirat.

Allah melarang kita menjadi sombong:

“Janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong, kerana sesungguhnya kamu skali-kali tidak dapat menembus bumi dan sekali-kali kamu tidak akan sampai setinggi gunung.” (Al Israa’ 37)

“Janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia kerana sombong dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri. (Luqman 18)

Allah juga menyediakan neraka Jahannam buat orang yang sombong:

“Masuklah kamu ke pintu-pintu neraka Jahannam, sedang kamu kekal di dalamnya. Maka itulah seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang sombong.” (Al Mu’min 76)

Renung kembali diri sendiri. Wujudkah sikap-sikap seperti di atas dalam diri kita? Andai yang membaca rasa dirinya punya sikap sedemikian rupa, belum terlambat untuk memperbetulkan mana yang salah, menambah baik mana yang kurang. Semua manusia itu tak lari daripada membuat kesilapan.

Jadilah insan yang berusaha untuk memperbaiki diri supaya menjadi lebih baik daripada hari sebelumnya. Insya Allah. Amin.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...